Hamba Allah


Click here for Myspace Layouts

Friday, March 5, 2010

idola kecil2

SETELAH hampir dua bulan meninggalkan gelanggang pertandingan, kini 10 bintang Idola Kecil 2 disatukan kembali.

Bezanya kali ini bukan di landasan nyanyian, tetapi lakonan dalam siri seram, Idola Kecil Misteri Rumah Tua yang bakal bersiaran pada cuti sekolah akan datang, iaitu pada 15, 16 dan 17 Mac ini pukul 7 malam di TV9.

Tahun lalu, bakat lakonan bintang Idola Kecil cuba diterjemah menerusi siri dua episod, Idola Kecil Cinderella Story yang berjaya menarik minat hampir sejuta penonton.

Atas keyakinan yang sama, drama bersiri Idola Kecil Misteri Rumah Tua yang menjalani penggambaran selama lebih seminggu di Hulu Pangsung, Hulu Selangor bermula 12 Februari lalu diterbitkan.

Selain juaranya, Dayana, sembilan lagi bintang Idola Kecil 2 yang terlibat ialah Azzam, Arill, Maulud, Ain, Fienaz, Tasha, Nurul, Jiha dan Sam.

Ini salah satu daripada agenda yang disusun oleh TV9 dalam memastikan bakat yang ada pada 10 peserta tersebut tidak disiakan begitu sahaja.

"Disebabkan kanak-kanak boleh menyanyi dan berlakon, maka drama berkonsepkan muzikal ini dilihat bersesuaian dengan mereka.

"Ini salah satu projek istimewa yang direncanakan untuk mereka sempena cuti sekolah akan datang.

"Dan selepas itu, pada April nanti, bakal menyusul pula sebuah lagi drama bersiri yang akan melibatkan mereka dan beberapa pesertaIdola Kecil musim pertama," kata Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Rozaina Zainul Abidin pada sidang akhbar baru-baru ini.

Bukan atas tiket mencari keuntungan, jelas Rozaina, perancangan tentang drama bersiri tersebut telah direncanakan sebelum tamat pertandingan Idola Kecil musim kedua itu.

Sebelum ini, tercetus isu yang mendakwa TV9 menggunakan bintang-bintang Idola Kecil untuk meraih keuntungan berikutan kontrak yang disambung secara tiba-tiba.

Tindakan itu didakwa menyukarkan proses mereka menerima tawaran dan kontrak nyanyian.

Menjawab isu ini, Rozaina berkata, tidak timbul isu mengenai kontrak seperti yang diuar-uarkan.

"Sebelum peserta menandatangani perjanjian, kita sudah menjelaskan pelbagai perkara dan semua peserta pertandingan realiti di bawah Media Prima perlu menandatangani perjanjian ini.

"Cuma apa yang menjadi isu ialah pemanjangan kontrak yang pada awalnya daripada 2 Oktober 2009 hingga 4 Julai 2010 untuk menjalani pelbagai aktiviti yang telah ditetapkan oleh TV9 dipanjangkan sehingga Disember 2010.

"Dalam perjanjian tersebut, memang sudah tertulis bahawa mereka tidak boleh terlibat dengan mana-mana aktiviti atau tawaran lain tanpa kebenaran pihak TV9.

"Jelas disini tiada isu tentang mereka diikat. Apatah lagi pemanjangan kontrak tersebut hanya melibatkan lima bintangIdola Kecil 2 iaitu Azzam, Dayana, Fienaz dan Ain," katanya.

Sambungan kontrak kepada lima peserta Idola Kecil 2 itu kata Rozaina, bukan berdasarkan pilih kasih namun, ia mengambil pertimbangan dari segi faktor tempat tinggal dan kemudahan peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan memandangkan mereka masih bersekolah.

Berbalik kepada drama muzikal Idola Kecil Misteri Rumah Tua, turut berlakon ialah Ilya (Senario) yang bakal melakonkan watak bapa tiri kepada Dayana dan Arill.

Manakala seorang lagi pelakon terkenal, Fizz Fairuz bakal melakonkan watak sebagai bapa kepada Azzam.

Kisah bermula apabila Azzam yang baru kematian ibu sentiasa mengalami mimpi ngeri yang penuh misteri di mana dalam mimpi tersebut dia sering bertemu kanak-kanak perempuan berpakaian gaun putih.

Azzam menceritakan mimpi tersebut kepada bapanya dan atas nasihat doktor, bapanya membawa Azzam pulang ke kampung dengan hasrat Azzam akan memperoleh ketenangan dan bebas daripada trauma kehilangan ibu.

Namun, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, Azzam terlihat sebuah rumah usang yang sering muncul dalam mimpinya dan atas bantuan sesupu-sepupunya, mereka menyiasat misteri tentang rumah usang tersebut.

Apakah yang berlaku ketika mereka menjalankan proses penyiasatan?.

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan siri menarik ini arahan Zafran Aziz pada 15, 16 dan 17 Mac ini pukul 7 malam di TV9.

No comments:

Post a Comment

YoonA - Girls' Generation SNSD